Hari ini sesi persekolahan fasa 4 telah bermula di negeri Kuantan, Pahang dan yang sama dengannya. Saya percaya, akan menjadi 'trending' sepanjang minggu cerita anak-anak sekolah sahaja di seluruh Malaysia. Majoriti ibu bapa sudah mula memuat naik gambar anak-anak mereka di akaun media sosial di Facebook dan juga Instagram milik mereka. Termasuklah saya sendiri. Alhamdulillah, sesi persekolahan fasa 4 dengan 3 anak bersekolah rendah.
Dalam blog ini, saya rasa agak kurang bercerita mengenai anak-anak. Entahlah, mungkin sebab pernah terkena penyakit ain saya jadi begini. Sentiasa beringat juga. Bagi mengubat rasa rindu, saya nak juga cerita perihal anak-anak.
"Furqan letih lah mama. Tak nak lah bergambar." Ujar budak tahun 1 |
Sesi persekolah Fasa 4, 2023
Alhamdulillah, syukur ke hadrat ilahi. Kini anak saya sudah 3 orang bersekolah rendah. Iaitu Sara darjah 5, Soffea darjah 2, manakala Furqan berada di darjah 1.
Awal pagi tadi, suami yang hantar anak-anak ke sekolah. Syukur juga, sebab memiliki suami yang memahami. Memang kalut pagi tadi, sesi hantar anak-anak ke sekolah dengan suami pula perlu bekerja di luar Daerah selama beberapa hari.
Dek kerana kekalutan tersebut, satu gambar pun tiada untuk jadikan kenangan. Hmmm, sedih tau. Tapi takpe. Ada juga kenangan hari pertama anak-anak pada sesi persekolahan fasa 4.
Drama di sekolah anak-anak
"mama, tadi kakak hantar Furqan cari kelas dia."
"Furqan makan kenyang hari ni kat sekolah."
Hanya Sara dan Furqan sahaja yang suka bercerita, apabila di soal oleh saya sebaik mengambil anak-anak dari sekolah. Manakala, Soffea berlainan perangainya. Iaitu tidak berapa suka bercerita apa yang berlaku di sekolahnya. Alahai.. memang kuat simpan rahsia betul lah kan?
Soffea yang kurang suka bercerita. |
Berbalik kepada cerita diatas.
"Kakak hantar Furqan cari kelas dia, tahun 1 AB."
Saya selaku mama, sejuk hati mendengarnya. Masya allah, tabarakallah. Boleh diharap anak sulung ku menjaga adiknya. Syukur pada mu ya allah. Alhamdulillah, dia ingat apa yang saya pesan selama ini. Sayang Sara~
Dalam ramai-ramai anak. Mesti ada satu cerita yang mencuit hati. Saya rasa, Furqan adalah anak yang suka buat saya terhibur.
Adakalanya juga, buat saya berasa sedih. Dan bila saya sedih, selalu panggil Furqan dan tanya kembali kenapa dia berbuat begitu. Kemudian, sesi minta maaf pasti berlaku pada hari yang sama.
Drama hari pertama dia membeli di kantin sekolah, bagi sesi persekolah fasa 4
Furqan membeli nasi lemak ayam berharga RM 3. Beserta air sirap RM 1. Ini bermakna, dia tak bayar air tadi tu.
Apabila disoal oleh saya:
"Furqan makan kenyang, waktu rehat cukup tak duit?"
"Cukup mama. Orang tu cakap tak payah bayar air sirap lagi." Balas Furqan.
"Aik? minum air free ker? tu bukan pra-sekolah tau makanan free. Esok bayar duit makcik kantin tau."
"Lahh. ye ke?" ringkas pertanyaan daripada Furqan yang masih kebingungan.
"Betul. Esok mama beri duit RM 4 sekali dengan belanja."
Begitulah drama anak-anak di sekolah. Kadang-kadang melucukan, dan adakalanya kisah sedih.
Terlupa jahit lencana di sesi persekolahan fasa 4
Sebenarnya, semalam kami sekeluarga pulang dari bercuti hujung minggu. Pulang selepas zohor di hari Ahad.
Tibanya saya di rumah, terus saya bersihkan diri dan solat Zohor.
Usai solat zohor, sempat lah saya menjahit lencana anak-anak di tudung sekolah. Dengan gembiranya saya menjahit tudung yang dibeli daripada Tudung Si Comel.
Entah bagaimana, saya betul-betul lupa anak nombor 3 sudah bersekolah darjah satu. Bayangkan situasi, ketika awal pagi tadi menyiapkan Furqan. Boleh saya terjerit kecil, sebaik melihat bajunya kosong tanpa sebarang lencana sekolah. Akhirnya, pada hari pertama ke sekolah tanpa lencana.
"Hmmm, maafkan mama sayang." Ujar saya kepada Furqan tadi sebelum ke sekolah. Segera saya meminta maaf kepada dia. Rasa bersalah sekejap tadi.
Bagi Sesi Persekolahan Fasa 4, saya perlu keluar rumah seawal jam 12.30 tengah hari. Demi mengelakkan kesesakan parking sebenarnya. Zaman sekarang, bukan macam zaman dulu yang pelajarnya pergi ke sekolah menaiki bas sekolah. Kiri dan kanan bahu jalan sekolah, dipenuhi kenderaan masing-masing bagi menjemput anak-anak pulang dari sekolah..
0 Ulasan