Nasi impit kuah kacang dan cara buat kuah kacang simple

 Teringin nak makan nasi impit kuah kacang selepas sihat daripada batuk berkahak , terus order kacang kisar di Tiktok minggu lepas. Antara juadah paling mudah disiapkan di pagi raya atau sebarang majlis dan open house. 

Nasi impit kuah kacang ni, resipi mak saya. Tapi, di olah sedikit supaya lain dari resipi asal mak. Maafkan anakmu, kerana telah menderhaka resipi mak. Jika sebelum ini, dalam resipi kacang di kisar halus, di tahun 2024 saya menggunakan kacang kisar kasar untuk di jadikan kuah kacang. 



nasi-impit-kuah-kacang
Minta ampun, gambar tak senonoh sikit . 






Bahan-bahan kuah kacang 

Minyak untuk menumis

500 gram kacang kisar  kasar

2 keping gula melaka atau gula kabung

1/2 senduk gula 

Air asam jawa ( bancuh segenggam air asam jawa ) 

Segenggam ikan bilis

Sedikit garam 


Bahan kisar kuah kacang :


10 tangkai cili kering

Segenggam ikan bilis

10 ulas bawang rose kecil 

5 ulas bawang putih 

1 inci halia atau 2 keping halia 

Sedikit lengkuas

Serai 2 batang ( hiris dan kisar )


Cara buat kuah kacang nasi impit


1. Panaskan minyak masak ke dalam kuali. Pastikan minyak banyak untuk menumis. 


2. Masukkan bahan kisar tadi ke dalam kuali yang panas. Tumiskan sehingga terbit minyak. Walaupun minyak dah banyak untuk menumis, tujuan pecah minyak supaya kuah kacang menjadi sedap dan tahan lama. 


3. Elakkan tumisan terlalu kering, kerana akan memberi kesan rasa hangit  terhadap kuah kacang. 


4. Masukkan kasar kisar tadi. Kacang bergantung kepada korang yang nak masak. Ada orang suka kacang kisar lumat ( resipi asal mak saya, memandangkan abah tiada gigi kena turutkan sahaja ). Ada orang  yang sukakan kacang boleh di gigit-gigit sewaktu mengunyah. Saya lah tu. 


5.  Gaul rata kacang tadi dalam bahan kisar supaya mesra. 


6. Masa ni kuah akan menjadi pekat ledoit ( orang pahang cakap ) . Tapi jangan panik, tambahkan air dulu. 


7. Kemudian boleh  masukkan gula melaka, air asam jawa, gula, dan  garam. 


8. Jika kuah masih pekat, tambahkan air ke dalam kuah tadi. Sesuaikan mengikut selera anda. Siap! 


P/s : Setiap kali kuah kacang menjadi pekat ledoit, tambahkan air supaya cair. Jika rasanya tawar, sila tambahkan gula putih. 



13 tahun perkahwinan, ini kali pertama saya menukar resipi. Mujur lah anak-anak dan suami approved! 


Cerita di sebalik Nasi impit kuah kacang 

Ini tahun ke-13 saya beraya sebagai isteri. Jadi, mengikut perubahan arus ni. Apa salahnya, saya ubah suai resipi mak. Kalau dulu, mak ajar kuah kacang nak sedap kena buat dari scratch . Iaitu dari kuah kacang kena kisar kacang  tanah sendiri, dan menggoreng kacang tanah. Nasi impit buat sendiri. 


Yerlah, dunia pun dah moden sekarang. Semua orang nak waktu dipendekkan bila berada di dapur. Tak larat nak mengadap lama-lama kat dapur. Ada duit, beli je kacang kisar segera dan nasi impit segera NONA . Tinggal kuah je buat sendiri. Ehehe. Tapi, kalau menjual memang kena buat daripada scratch bagi menjimatkan kos.


Semasa di zaman kanak-kanak, 2 orang mak saudara duduk dengan mak. Jadi, setiap kali raya Aidilfitri dan Aidiladha. Nasi impit kuah kacang adalah menu pada hari ke-2 raya kami. 


Nasi impit tu, mak saudara buat sendiri je. Teringat dulu, nasi tu dia tanak sendiri dan hancurkan nasi tu menjadi lembik. Beralaskan plastik putih atas nasi, di impit atau di tindih pemberat  ibu lesung batu. Haaaa, nostalgia sungguh masa tu. Bersungguh kan orang dulu-dulu ni memasak. 


Masa tu, malam raya ke-2 nak tidur pun tak lena sebab teringatkan bilakah boleh makan nasi impit kuah kacang tu. Setiap sejam sekali terjaga tau, punya takut terlewat bangun pagi semata-mata nak makan nasi impit kuah kacang jer.


Petua tumisan kuah kacang sedap

Ada pelbagai cara orang mahu hasilkan kuah kacang yang sedap. Seperti saya sendiri, akan masukkan ikan bilis untuk jadikan lebih sedap. Cumanya belacan jer saya tak masukkan sebab suami mempunyai tekanan darah tinggi manakala saya sinus. Jadi, saya skip belacan dalam kuah kacang.

Atau korang boleh masukkan udang geragau / udang kering. Ini pun menjadikan kuah kacang menjadi lebih sedap. 



Kesimpulan 


Secara kesimpulannya mengenai resipi nasi impit kuah kacang adalah ; ia akan menjadi sedap apabila bahan tumisan pecah minyak, kacang tidak hangus sewaktu di sangai atau di goreng, di masukkan bahan rahsia seperti ikan bilis atau udang geragau ke dalam kuah kacang tersebut. Serta tekstur kacang sama ada nak hancur lumat atau sekadar kacang kisar kasar seperti kuah dalam gambar. Nak sedap, guna jer resipi dan saya dah tunjukkan cara buat kuah kacang nasi impit ni. 





Catat Ulasan

0 Ulasan