Syawal 1455H : Beraya di Kg Awah, Temerloh

 20 Syawal bersamaan 29 April 2024, baru berkesempatan nak update sambutan syawal 1445H. Kali ini, kami suami isteri beraya non stop. Penat! saya yang semakin pulih daripada batuk berkahak ketika itu dan migrain turut sertai beraya di Temerloh dan Kemaman. Raya kan setahun sekali. Jadi, rasanya sangat rugi jika saya tidak meraikan bulan kebesaran bersama keluarga tercinta. 


Memandangkan kakak  dari Johor pulang beraya di Kuantan, terus buat itinerary beraya. Seminggu sebelum beraya dah keluar itinerary raya. Maaflah, buat keluarga mertuaku kerana raya kali ini kami beraya sebelah petang pada hari raya pertama sahaja. Bermula raya ke-2 sehingga ke-5 kami berkonvoi raya melawat sanak saudara di Kg Awah Temerloh sehingga Kemaman. 




Juadah pagi raya 


Memandangkan saya belum pulih sepenuhnya daripada batuk berkahak dan migrain, saya hanya memasak juadah mudah. Kebiasaannya nasi minyak di pagi raya. Tetapi, buat julung pertama kalinya saya memasak menu Pulut kuning bersama rendang. Ha! mujurlah menjadi, ikut resipi pulut kuning di Tiktok. Rendang tu, saya dah biasa buat, jadi tidak menjadi janggal buat saya. 


Seminggu sebelum raya, saya sudah beritahu kepada suami. Mungkin ini Aidilfitri terakhir kita, siapa tahu kan? jadinya, kami memasak apa yang menjadi kesukaan. Tercetusnya idea adalah disebabkan saya diuji batuk berkahak dan migrain kronik sehingga saya diagnosis oleh doktor mempunyai Sinus .


  Suami pula teringin nak makan pulut kuning, manakala saya teringinkan laksa Penang. Juadah raya ke-2 adalah laksa penang. 



Nostalgia di Temerloh 


Syahdunya bila dapat jejakkan kaki ke Kg Awah, Temerloh Pahang. Sebaik sahaja kereta memasuki simpang ke Kg Awah, semakin segar memori di ingatan.


Kami sekeluarga dulu sekitar era 90-an menaiki bas Transnasional untuk pulang beraya di Kg Awah. Bas kami naiki akan berhenti di bus stop yang dipanggil dengan nama "Somer" . Adakala, ada prebet sapu akan berhenti untuk masuk ke dalam. Jika ada duit tambang, abah akan ambil prebet sapu je. 


Atau, pernah juga Aki saya yang akan datang menjemput dengan menaiki motosikal Honda Cup. Ohhh, nostalgia sungguh. Manakala, mak dan abah akan menaiki prebet sapu je. Cuma, mak dan abah lambat sampai la. Motor Aki hanya boleh membonceng 3 cucu je masa itu untuk sekali round. 



Kedai 


Arwah Aki takkan hantar kami terus ke rumah. Sebab aki akan bawa kami ke kedai kopi nya. Ya, arwah aki ada sebuah kedai di Kg.Awah. Kedai menjual sarapan pagi dan minum petang. Paling menjadi kesukaan datang ke kedai aki, apabila arwah memberi izin kepada cucu-cucunya untuk mengambil air berkarbonat di dalam botol kaca. Syok wei! aiskrim pun ada jual juga masa tu. Jika tidak silap, saya berada di tahun 1. 


Kami berehat di bilik belakang di dalam kedai kayu. Buat pengetahuan semua, kedai kopi arwah aki bersebelahan pejabat FELDA. 


Belakang kedai pula, tandas untuk membuang air besar dan mandi. Paling best mandi di sini, ini kerana tandas di luar kedai mempunyai telaga. Sejuk gila! dengan suasana kampung, ada bauan sawit di proses dan kehijauan alam semula jadi. 


Manakala, pada bulan ramadan aki akan menjual murtabak. Antara murtabak dan roti canai terkenal ketika era 80-90 an. Paling best, kalau bernasib baik menaiki bas Transnasional Kuantan-Temerloh-Kuala Lumpur . Bas kami naiki betul-betul akan berhenti depan kedai arwah aki. Seronok! jadi, arwah aki tidak perlu bersusah payah untuk keluar mengambil kami di somer. 



Pengalaman mistik 


Dek kerana sifat cemburu oleh seorang rakan arwah aki. Individu tersebut telah bersengkokol dengan syaitan dengan menggunakan ilmu hitam untuk menutup perniagaan arwah aki. Sedih! 


Pada mulanya, si polan telah meminta arwah aki mengajarnya membuat roti canai dan murtabak. Setelah si polan dapat resipi dan teknik rahsia tersebut, beliau cuba menaikkan perniagaan arwah aki saya dengan menutup warung aki dengan ara halus. 


Semua penduduk di situ tidak nampak lagi warung aki buka. Ramai yang bertanyakan kepada arwah aki, dan akhirnya aki mendapat jawapan bahawa rakan yang meminta resipinya punya angkara. Perniagaan dia yang naik, sementara itu warung aki tidak lagi disukai. 


Arwah aki didatangi dengan perkara-perkara aneh dan mistik. Akhirnya, arwah aki menutup terus warung dan tidak lagi berniaga. Sedih kan? sejak itu, segala resipi roti canai dan murtabak telah diperturunkan kepada pak saudara di Kemaman. 


Kata mak saya, arwah aki pernah menjadi guru silat sekitar tahun 70-an. Silat yang tidak perlukan sentuhan langsung untuk bertarung. Tetapi, silat ini bukan sembarangan yang boleh bawa. Nak hati bersih, rajin solat, berpuasa dan rajin bangun tengah malam. Sejak dikeluarkan fatwa, arwah aki berhenti mengamalkan silat tersebut dan kelas tersebut di tutup. 


Bagi saya, silat tidak bersalah cumanya orang yang bawa akan terpesong akidah jika menggunakan sesuatu kearah jalan salah. Wallahualam. 



Beraya di kubur 


Ada ustaz cakap, tak elok beraya di kubur. Kenapa perlu melawat kubur pada raya Aidilfitri dan bukan hari biasa. Pernah dengar tak? 


Sebenarnya bersebab. Bukan suka-suka nak ke kubur pada raya Aidilfitri. Sekadar kebetulan singgah, kami sudah tidak ada rumah lagi di Kg. Awah tu selepas pemergian arwah aki. Arwah tok pula sudah meninggalkan kami pada tahun 1986 dengan kematian mengejut. Al-fatihah buat arwah tok dan aki, semoga berada di syurga teratas.


Setelah itu, arwah aki telah berkahwin dengan isteri barunya yang berasal daripada kedah, beliau juga merupakan seorang bidan kampung yang terkenal dengan mengurut wanita selepas bersalin dan mengajar mengaji di kampung. 


Selepas singgah ke kubur, kami melawat rakan sekolah mak di rumah J16 dan saudara abah di J18. Terubat rindu bila beraya macam ni, teringat zaman kanak-kanak saya sepupu dan adik-beradik lain akan berpecah untuk pergi beraya. Rumah felda ni mempunyai blok. Dari blok A Sehingga blok M. Bayangkan betapa besarnya felda Kg. Awah ni. Rindu!



Raya Bermakna 


Rasanya di tahun 2024, adalah tahun bermakna saya beraya bersama keluarga. Setelah beraya ke Temerloh, hari seterusnya di Kemaman dan beraya di Tg Belenggu bagi meraikan pertunangan anak pak saudara. Hampir demam sebab beraya non stop hampir seminggu. 






Catat Ulasan

0 Ulasan