Tidak dinafikan, bila trimester pertama kehamilan kandungan ke-5 ni berbeza daripada sebelumnya.
Saya kira, amat 'rare' dalam sejarah kehidupan sendiri selaku seorang ibu yang berumur 3 series. Manakan tidaknya, sepanjang trimester pertama hanya Allah SWT sahaja yang tahu betapa mencabar.
Alhamdulillah, sujud syukur bila kandungan sudah memasuki trimester ke-2 kehamilan. Saya rasakan, masa agak panjang dalam trimester pertama ini.
Apa yang menguatkan fakta diatas adalah melalui pengalaman kehamilan kandungan ke-5. Fasa di mana kami suami isteri terkena alahan kulit. Azab lah sekejap, cuma suami hanya 2 minggu sahaja merasai alahan ibu mengandung iaitu gatal-gatal badan.
Trimester pertama
Manakala, saya ibu yang membawa kandungan. Dari awal kehamilan disahkan, sehingga lah di akhir trimester pertama. Baru lah boleh menarik nafas lega. Ini kerana, diawal kehamilan selera makan membuak-buak. Setiap 2 jam, perut saya berkeroncong. Lapar teruk!
Sepanjang hamil anak nombor 1 sehingga ke-4, belum pernah lagi mempunyai simptom begini.
Kelaparan yang maha dasyat ya. Jika dahulu, lapar yang boleh ditahan-tahan. Tetapi, kandungan ke-5 tidak boleh.
Tahan juga, airmata pengganti dengan perutnya sakit. Ada masanya, janin ni dengar juga cakap. Tepuk sekali, terus senyap. Hahah.
Bila memikirkan umur saya sudah 3 series begini, suami juga jadi 'reminder' saya. Katanya, risau kencing manis sewaktu mengandung. Ha, jadinya saya kawal juga makan. Memang diawal kehamilan, nak je makan manis. Sehinggakan gigi pun jadi bermasalah juga.
Gigi sakit semasa mengandung
Sebaik disahkan hamil, keinginan makan makanan manis membuak-buak saya ni. Termasuk jugalah suami, hairan saya. "Aku yang mengandung, dia pun nak makan manis." Hahaha~
Tak mengapalah. Sebab dulu pun memang pernah berniat, kata dalam hati. " Kalau mengandung lagi, biar sama-sama rasa alahan mengandung!" nah! dapat sungguh lah.
Apa yang kelakarnya, kami suami isteri sakit gigi bersama. Tapi itulah, saya ibu, yang perlu tanggung kesakitan yang paling teruk.
Sakit gigi tu, sampai menangis-nangis. Dah macam budak kecil dah saya ni kan? memang tak tertanggung. Makan ubat panadol, semuanya tak jalan ubatnya.
Petang hari, menginjak ke senja. Saya bersiap nak keluar cari ubat sakit gigi sendirian. Sakit gigi tu, tahap nak hantuk kepala ke stereng kereta bagi pengsan sekejap. Punya lah sakit. Tapi, suami tak bagi drive sendiri.
Dia temankan dan 'drive'. Takut saya buat yang bukan-bukan katanya. Takde lah sampai macam tu ha. Iman masih tebal di dada. Insya allah, doakan.
Setibanya dirumah, ubat yang dibeli tidak berkesan untuk ibu mengandung. Kecewa sangat!
Bahan dapur untuk sakit gigi ibu mengandung
Akhirnya, saya menggunakan bahan di dapur sahaja. Itu yang berkesan!
Entah lah, nak jadi kan? hanya menggunakan garam halus masakan, 2 sudu besar garam dilarutkan dalam air suam sahaja. Kalau air kosong, tak menjadi untuk saya. Makin sakit!
Apa yang saya buat adalah dengan kaedah :
Berkumur-kumur dengan air garam selama 20 minit. Fokus berkumur di tempat sakit. Bila masin bertembung dengan kesakitan, memang sedap tindak balas. Syok lah. Permulaan je rasa sengal gigi, dah biasa dia akan ok.
Kemudian, berkumur sehingga kesakitan hilang. Jika sakit lagi, ulangi sehingga sakit tu hilang.
Apa yang korang perlu buat, adalah rajin. Rajin bangun tengah malam untuk berkumur-kumur dengan air garam. Oleh sebab penat, sebab 3 kali saya terjaga dari tidur malam kerana kesakitan gigi.
Saya terus bancuh air garam di dalam botol air. Sakit jer gigi, terus berkumur-kumur dan buang di dalam tandas. Tidak perlu lagi berjalan ke dapur. Jauh pula nak pergi ke dapur malam-malam buta ni.
Tengah malam lah, gigi ni buat hal. Gigi sakit disebabkan ada kerosakan di gigi geraham bongsu. Tambahan pula, malam tu 3 hari berderet-deret hujan. Ha, memang menjadi-jadi sakitnya.
Bayangkan, diawal trimester pertama memang tak boleh mencabut gigi. Maka, bertahan sahaja lah saya dalam fasa ini.
Dari minggu pertama sehingga 19 minggu kehamilan. Allah maha baik, hanya 2 minggu sahaja gigi sakit. Tapi, macam sebulan juga sakitnya.
Penangan makan manis dessert lah, punca utama gigi sakit. Saya ban terus kedai bakery tu. Manis melampau! menyesal sangat time tu tau. Pavlola yang saya makan tu.
Baru je makan 2 ketul seumur hidup, dah menerima kesan buruk. Haha. Mujur lah tak kena kencing manis. Minum air gula masa buka buku pink tu, bacaan gula 4.5. Alhamdulillah.
Alahan kulit
Alahan satu persatu singgah pada ibu mengandung ni tau. Rasa bertaubat dah tak mahu lagi mengandung.
Nak BTL ( proses ikat untuk hentikan kehamilan daripada berlaku ) terus! tapi, menurut Islam dikatakan haram selagi mana tidak mudaratkan si ibu. Selepas episod gigi sakit, alahan gatal-gatal badan pula keluar.
Pada mulanya, saya fikir mungkin denggi. Sebab bintik-bintik merah muncul pada kulit.
Dan, kegatalan muncul setelah bintik keluar. Bintik tersebut semakin agresif apabila di garu. Merebak teruk ke bahagian badan lain. Seksa!
Bayangkan saya dah jadi macam monyet. Asyik menggaru kerjanya. Agresif pada tengah malam, gatal terlampau. Sehinggakan saya tidak boleh tidur sampai ke subuh. Keesokan harinya, saya pergi ke klinik berbayar. Dapatkan ubat-ubatan serta doktor memberi suntikan alahan.
Saya fikir, suntikan alahan tu bagus. Ya lah, kegatalan semakin berkurangan. Tapi yang peliknya, kurang di bahagian atas badan sahaja. Suntikan tersebut di lengan, makanya ubat tersebut berfungsi dengan baik pada bahagian atas badan sahaja.
Dari pinggang ke bawah, makin teruk tau. Menangis juga mengenangkan nasib mengandung. Suami saya tidak seteruk ini. Kami laki bini, bergilir-gilir sapu ubat gatal tu. Paling teruk saya, dari leher sehingga kaki bintik merah tu keluar. Hodoh dah badan masa tu. Sedih tau! emosi turun naik. Setiap malam, minta pada Allah sembuhkan penyakit ini. Tidak larat menanggungnya.
Ubat sapu alahan gatal kulit ibu mengandung
Sudah beratus-ratus habis untuk ubat dan rawatan. Cuma, steroid je saya tidak mencubanya. Risau kandungan terjejas. Dari ubat percuma di klinik kesihatan, sehingga lah farmasi. Akhirnya suami belikan ubat sapu yang berkesan.
Ubat sapu losyen dari Farmasi, beli pada harga RM 59.90 . Bernasib baik, ubat tersebut serasi. Kalau tak, lebur duit. Itu pun saya dah membebel pada suami, katanya mahal.
Alhamdulillah, sedikit demi sikit. Bintik merah di belakang badan, paha, belakang paha, leher, kaki, dan perut hilang. Tiada sudah bintik baru muncul. Cumanya, parut hitam meninggalkan kesan. Sedih! tiap hari mengadu pada suami, dah tak cantik lagi dengan adanya parut begini.
Elak dari berulang kegatalan
Sepanjang alahan kulit berlaku, saya elakkan makanan seperti seafood. Iaitu Ikan, sotong, kerang, dan ketam .
Tempoh itu juga, saya jadi vegetarian. Bagus untuk saya sebenarnya. Memandangkan, tekak pun asyik nak makan ulam-ulaman seperti timun dan terung bakar. Jadi, 2 ulaman ini menjadi menu setiap hari saya.
Pernah terlupa, bahawa saya ni ada alahan teruk sewaktu trimester pertama kehamilan. Ikan tongkol saya makan di rumah mentua , memang terus menggaru malamnya. Nasib baik losyen tu ada, syukur.
HB Low
Entah macam mana, dengan alahan teruk macam tu. HB saya pula low, memang teruk juga dalam hidup saya sewaktu mengandung.
Rupa-rupanya, saya cepat penat adalah disebabkan HB Low. Berjalan kaki keluar dari parking luar klinik masuk ke klinik Kesihatan Beserah. Dah tercungap-cungap saya ni.
Semasa darah diambil di jari, memancut keluar. Ini bermakna darah saya terlalu cair kata staff disitu.
Dan, keputusan darah memang rendah. Dari 13 bacaan sudah turun. Sebelum berakhir trimester pertama kehamilan, HB saya naik kembali asbab mengamalkan ulam-ulaman. Masya allah, ternyata mengamalkan sumber sayur-sayuran HB naik. Selain sayur, juga mengamalkan minum susu fresh dari Farm Fresh seminggu sekali.
Mengidam pada Trimester pertama
Di trimester pertama kehamilan. selain alahan kulit. Juga saya mengalami alahan seperti muntah-muntah. Nasib tidak seteruk seperti mengandungkan anak nombor 2, dimana saya tidak boleh langsung menaiki kereta pada trimester 1. Dan, alahan itu menandakan saya mengandungkan baby perempuan.
Mengidam kali ini, saya teringin nak makan buah rambutan merah. Selain itu, tembikai bewarna merah. Tembikai tu pernah suami belikan tembikai kuning, sudahnya memang tak lena tidur. Selalu teringatkan tembikai merah. 3 minggu juga lah simpan rasa keinginan tu, akhirnya saya cari sendiri. Puas hati!
Nak tahu suami mengidam apa? setiap hari dia belikan lada besar merah. Saya selalu gelakkan suami, apo punya mengidam ni? setiap kali balik dari pasar, beli lada merah. Banyak pula tu. Adoii~ jenuh kena buat sambal belacan.
Bila mengidam macam ni, saya dapat agak. Mesti baby dalam kandungan saya ni adalah jantina lelaki. Ini disebabkan pernah kandungan nombor 3, suami belikan lada merah juga setiap hari dan memang baby lelaki yang saya kandung.
Scan Details
Memandangkan 3 series saya ni semasa mengandungkan nombor 5. Doktor di Klinik Kesihatan menyarankan saya untuk lakukan details scan keatas kandungan.
Sejurus pulangnya dari Klinik Kesihatan jam 11 pagi Rabu. Suami bergegas mengajak ke Klinik Wyko Specialist. Alhamdulillah, syukur. Tulang belakang, jari-jari tangan serta kaki lengkap, tempurung kepala, otak, mulut, mata sempurna. Masya Allah.
Kemudian, doktor dedahkan jantina baby. Rupa-rupanya baby lelaki. Ya, jantina lelaki memang cepat boleh diketahui melalui scan kata doktor seawal 16 minggu lagi. Sewaktu scan dilakukan, kandungan sudah mencecah 19 minggu.
Hancur harapan 2 orang kakak serta seorang abangnya, yang mana mereka mahukan princess katanya. Sudah letih dengan karenah adik lelaki. Dan Yusuf 5 tahun, memang mahukan lelaki. Hahaha.
Penerimaan kandungan ke-5
Nak dijadikan cerita, sebenarnya anak nombor 2 ( Soffea ) menangis bila dapat tahu saya mengandung lagi. Katanya, mama dah tak boleh sayang dia lagi macam dulu. Haih~ jenuh pujuk untuk fahamkan dia tau.
Manakala, Yusuf pun tidak dapat menerima kenyataan bahawa dia akan jadi seorang abang. Hampir sebulan, dia marahkan saya sebab gelarkan dia abang. Apa yang membuka pintu hatinya, apabila saya bawa dia ke klinik temankan saya checkup ibu mengandung. Baru dia terbuka hati, dan dia lah paling 'excited'. Setiap hari tanya bila nak ke klinik lagi.
Sementara itu, anak sulung Sara 12 tahun dan 8 tahun Arif. Mereka berdua tidak sabar menanti kelahiran adik nombor 5.
Akhir kata, syukur kehadrat ilahi kerana diizinkan Allah SWT. Saya mengandung lagi, setelah 2 kali keguguran sebelum ini dengan mencuci rahim menggunakan kaedah ERPOC dan D&C . Alhamdulillah, masih berbaki fasa ke-2 dan 3 kehamilan. Semoga kandungan saya dalam lindungan Allah selalu.
Kata-kata itu sebuah doa, teringat dulu saya pernah mengeluh.
Tahun depan ( 2025 ) anak-anak semua sekolah, termasuklah Yusuf. Jadi, saya tiada teman di rumah sebelah pagi. Bosan! Sekali Allah bagi terus teman untuk tahun depan. Masya Allah.
Buat rakan-rakan yang masih TTC atau menanti zuriat dan ingin menambah anak. Saya doakan semoga Allah tiupkan malaikat kecil di dalam rahim anda. Makan makanan berkhasiat. Makanan sunnah tu penting ya. Paling mujarab, jika mahukan zuriat.
0 Ulasan