Pernah dengar tak podcast seram? ala, macam MJ 12. Dulu sekitar tahun 2000 popular sangat dengan cerita-cerita seram dan mistik begini. Cerita yang dikongsikan oleh Dj KC secara LIVE menerusi radio. Erk, lupa dah siaran mana. Rasanya di tahun 2024 bertukar nama dengan Malam Seram Podcast.
Dulu kami seisi keluarga suka dengar cerita begini. Sanggup tahan mata, jika tidak silap bersiaran jam 12 tengah malam. Saya, adik-beradik dan mak sanggup duduk depan radio semata-mata mahu mendengar kisah seram seram dan mistik yang dibacakan oleh DJ ketika itu.
Cerita seram dan mistik tersebut dihantar secara e-mail dan ada juga bercerita secara LIVE sewaktu panggilan. Yang ni memang seram sangat.
Ok, saya tak nak buang masa lagi. Kali ini, dalam artikel ini saya kongsikan skrip podcast seram saya tulis sendiri.
Skrip podcast : Misteri Ular-ular gergasi di Hutan
Host:
Selamat datang ke podcast "Cerita Seram dan Mistik". Hari ini, kita akan mendengar satu kisah seram yang berlaku di dalam hutan yang sunyi. Kisah ini tentang perjalanan seorang pengembara yang menemui sesuatu yang sangat pelik. Jadi, anda sebagai pendengar sila duduk santai, pasang telinga, dan mari kita dengar ceritanya.
( Kedengaran bunyi tapak kaki memijak dedaun kering di dalam hutan sunyi )
Host:
Pada suatu hari, seorang pengembara memasuki sebuah hutan yang tebal. Hutan itu sangat sunyi, hanya kedengaran bunyi cengkerik dan langkah kakinya yang menginjak daun-daun kering. Ketika dia berjalan semakin jauh, dia mula melihat sesuatu yang aneh.
Latar belakang bunyi : Jantung berdegup kencang.
Host: Setiap pokok yang dilaluinya dibelit oleh ular besar yang kaku. Ular-ular itu melilit pokok-pokok dengan kuat, seolah-olah menjaga sesuatu. Lebih menakutkan lagi, mulut setiap ular itu ternganga luas, namun tidak bergerak sama sekali. Ular-ular itu kelihatan seperti patung hidup yang membeku.
Latar belakang bunyi : Kedengaran bunyi angin halus bertiup kencang dalam keheningan malam
Host:
Pengembara itu merasa bulu romanya meremang. Dia tertanya-tanya, adakah ular-ular itu sebenar atau sekadar ilusi? Meskipun rasa takut mencengkam, dia memberanikan diri untuk menghampiri salah satu pokok yang dililit ular. Dia menyentuh kulit ular itu, dan terasa keras seperti batu.
Latar belakang bunyi : Muzik saspen dan bunyi nafas berat dengan laju.
Host:
Tiba-tiba, bunyi bisikan halus kedengaran di telinganya. Dia memandang sekeliling, tetapi tiada sesiapa pun di situ. Dengan hati yang berdebar-debar, dia terus berjalan ke hadapan, semakin jauh ke dalam hutan. Setiap langkah semakin menyeramkan, setiap sudut seolah-olah menyembunyikan rahsia gelap.
Bunyi latar belakang :
Host:
Di tengah-tengah hutan itu, dia terjumpa sebuah pondok lama yang hampir roboh. Rasa ingin tahunya mengatasi ketakutannya, dia membuka pintu pondok itu dan masuk. Di dalam pondok, terdapat sebuah meja yang penuh dengan buku-buku lama dan lilin yang hampir habis terbakar.
Tiba-tiba, satu suara yang serak dan garau berkata, “Selamat datang. Sudah lama aku menunggu.”
Latar belakang bunyi : Daun pintu kayudikuak.
Host:
Pengembara itu tersentak dan melihat seorang lelaki tua yang duduk di sudut gelap pondok itu. Lelaki tua itu memandangnya dengan mata yang tajam dan berkata, “Ular-ular itu adalah penjaga hutan ini. Mereka kaku kerana terkena sumpahan. Hanya orang yang berani seperti kamu yang boleh mematahkan sumpahan ini.”
Latar belakang bunyi : Muzik saspen semakin kuat.
Host:
Pengembara itu merasa terkejut dan bertanya, “Bagaimana caranya untuk mematahkan sumpahan itu?” Lelaki tua itu tersenyum misteri dan menjawab, “Kamu perlu mencari batu permata yang tersembunyi di tengah-tengah hutan ini. Batu itu adalah kunci untuk membebaskan ular-ular itu.”
Host:
Dengan semangat baru, pengembara itu bertekad untuk mencari batu permata tersebut. Perjalanan yang penuh cabaran dan rintangan menantinya, tetapi dia tahu bahawa dia mesti teruskan demi menyelamatkan hutan itu daripada sumpahan.
Latar belakang bunyi : Bunyi suara burung hantu berkokok.
Host:
Setelah berhari-hari mencari, akhirnya dia menemui batu permata tersebut yang tersembunyi di bawah akar pokok besar. Dengan penuh hati-hati, dia mengambil batu itu dan kembali ke pondok lelaki tua tersebut.
Latar belakang bunyi : Degupan jantung dan muzik saspen dimainkan.
Host:
Lelaki tua itu tersenyum melihat batu permata tersebut dan berkata, “Kamu telah berjaya. Ular-ular itu kini bebas dari sumpahan.” Tetapi sebelum pengembara sempat merasa lega, lelaki tua itu menambah, “Sebenarnya, ular-ular itu adalah saka aku. Mereka menjaga hutan ini untukku. Dengan batu permata itu, kini kamu yang akan menjaga mereka.”
Latar belakang bunyi : Suara ketawa bersama muzik dramatik dimainkan.
Host: Pengembara itu merasa seram sejuk apabila mendengar kata-kata lelaki tua itu. Batu permata di tangannya berkilau, dan dia mula merasakan tanggungjawab berat yang kini tergalas di bahunya. Hutan itu kini menjadi dunianya, dan ular-ular itu adalah teman sejatinya. Apakah yang akan berlaku seterusnya? Hanya masa yang akan menentukan.
Pengajaran cerita seram ini : Jangan sesekali membantu dan menerima hadiah dari mana-mana orang yang tidak dikenali. Ada banyak keburukan dari baiknya. Dalam podacst kali ini, pemuda tersebut terpaksa menerima saka baka lelaki tua tadi.
0 Ulasan